Majlis Berbuka Puasa Dan Sumbangan Wakalah Zakat Zurich Takaful Kepada Pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia

Sumbangan Wakalah Zakat Zurich Takaful kepada pelajar Institut Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia (IPG KPM) melalui PTPTN merupakan kolaborasi yang pertama kali dengan Kementerian Pendidikan (KPM). Ini menunjukkan keprihatinan dan tanggungjawab sosial pihak korporat dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar peringkat pendidikan tinggi.
Majlis penyerahan sumbangan ini bersama majlis berbuka puasa diadakan di IPGK Bahasa Melayu, Lembah Pantai pada 26 Februari 2026. Turut hadir pada majlis itu adalah YBrs. Puan Nur Fatihah binti Mustafa, Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful, YBrs. Puan Mastura binti Mohd Khalid, Ketua Pegawai Operasi PTPTN dan YBrs. Dr Yazid bin Abdul Manap, Rektor IPGM.
Sejumlah RM50,000.00 akan disumbangkan kepada IPG KPM. Sumbangan ini akan disampaikan kepada 100 orang pelajar-pelajar dari IPGK Bahasa Melayu, IPGK Bahasa Antarabangsa, IPGK Ilmu Khas dan IPGK Pendidikan Islam. Setiap pelajar akan menerima RM500 dalam bentuk Akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).
Pihak IPG KPM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan Zurich Takaful Malaysia dan PTPTN dalam menyokong kebajikan pelajar. Sumbangan ini dijangka memberi manfaat kepada pelajar daripada golongan asnaf yang layak, sekali gus membantu meningkatkan motivasi dan kecemerlangan akademik mereka.
