Inilah Bagaimana Perubahan Iklim Akan Memberi Kesan kepada Perniagaan di Seluruh Dunia – dan Apa yang Boleh Dilakukan
23 September 2023
Kesan perubahan iklim dirasai merentasi semua industri. Namun, apakah risiko yang paling perlu diberi perhatian oleh pemimpin perniagaan, dan bagaimana mereka boleh membuat persediaan terbaik ke arah masa depan yang lebih hijau?
Krisis iklim sedang mengubah cara kita hidup dan bekerja.
Kesannya kini semakin dirasai oleh pelbagai perniagaan dalam hampir semua industri. Namun begitu, perubahan iklim dan peralihan ke arah masa depan pelepasan karbon sifar bersih (net-zero) juga berpotensi mewujudkan industri baharu serta peluang pertumbuhan yang mampu mencipta lebih banyak pekerjaan dan merancakkan semula ekonomi.
Di sebalik peluang tersebut, hampir semua industri turut berdepan ancaman kesan perubahan iklim, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Bagi syarikat yang ingin memahami bagaimana perubahan iklim boleh mempengaruhi operasi mereka, terdapat tiga kategori risiko utama yang perlu dipertimbangkan: risiko fizikal, risiko peralihan dan risiko liabiliti.
Risiko Fizikal
Risiko fizikal ialah ancaman yang berpunca secara langsung daripada perubahan keadaan alam sekitar. Ini termasuk banjir, taufan, kemarau, kebakaran hutan serta bencana alam lain yang menjadi lebih buruk akibat perubahan iklim dan boleh menyebabkan kerosakan kepada manusia, harta benda serta infrastruktur kritikal. Sebagai contoh, dianggarkan 1.8 bilion orang, atau 23% daripada populasi dunia, terdedah kepada risiko banjir melebihi 0.15 meter dalam kejadian banjir yang dijangka berlaku sekali dalam tempoh 100 tahun. Pada masa yang sama, 700 juta orang dijangka berisiko kehilangan tempat tinggal akibat kemarau menjelang tahun 2030.
Fenomena cuaca ekstrem kini telah memberi kesan ketara kepada dunia perniagaan. Pada tahun 2022 sahaja, kejadian berkaitan cuaca dan iklim mengakibatkan kerugian ekonomi global sebanyak USD313 bilion, namun hanya USD132 bilion daripada jumlah tersebut dilindungi oleh insurans.
Sektor pertanian merupakan antara industri yang paling terdedah kepada risiko fizikal perubahan iklim. Banjir, kemarau, cuaca yang terlalu panas atau terlalu sejuk boleh menjejaskan tanaman dan ternakan. Biro Ekonomi Pertanian dan Sumber Australia melaporkan bahawa para petani di negara itu mengalami kerugian melebihi AUD1 bilion dalam tempoh 20 tahun sehingga 2019 akibat perubahan iklim, terutamanya disebabkan kemarau. Sektor pelancongan dan rekreasi juga menerima kesan yang ketara. Resort ski kini berdepan musim yang semakin singkat kerana peningkatan suhu mengurangkan jumlah salji. Menjelang tahun 2050, hampir semua resort ski di Amerika Syarikat dijangka mengalami musim ski yang 50% lebih pendek, dan sehingga 80% lebih pendek menjelang tahun 2090. Pada masa yang sama, kebakaran hutan turut menyebabkan Amerika Syarikat, Turki dan Australia kehilangan pendapatan pelancongan apabila kawasan pendakian popular menjadi tidak selamat.
Risiko Peralihan
Risiko peralihan merujuk kepada peningkatan kos perniagaan akibat dasar, undang-undang dan peraturan baharu yang diperkenalkan bagi menangani perubahan iklim. Risiko ini juga boleh timbul akibat perubahan teknologi dan trend pengguna, selain berpotensi menjejaskan reputasi syarikat apabila masyarakat semakin memberi perhatian terhadap amalan perniagaan yang beretika. Apabila industri mula beralih daripada aktiviti yang menyumbang kepada perubahan iklim, sesetengah syarikat mungkin berdepan dengan aset terbiar (stranded assets), iaitu tanah, bangunan atau peralatan yang kehilangan nilai akibat perubahan pasaran.
Industri tenaga merupakan antara sektor yang paling terdedah kepada risiko peralihan. Dengan peningkatan permintaan terhadap sumber tenaga yang lebih bersih serta keselamatan tenaga, banyak kerajaan kini beralih kepada tenaga boleh diperbaharui dan menetapkan sasaran pelepasan karbon sifar bersih bagi pengeluar tenaga.
Sektor perlombongan juga berdepan cabaran yang sama. Perlombongan logam berharga, misalnya, boleh terkesan daripada dasar penetapan harga karbon. Pada masa yang sama, kesan negatif aktiviti perlombongan terhadap alam sekitar semakin menjadi isu reputasi, menyebabkan pelabur lebih berhati-hati terhadap syarikat yang berpotensi menjejaskan imej mereka.
Risiko Liabiliti
Risiko liabiliti berlaku apabila sesebuah organisasi gagal mengurangkan risiko, menyesuaikan diri, membuat pendedahan yang sewajarnya atau mematuhi kehendak undang-undang dan peraturan berkaitan perubahan iklim. Di seluruh dunia, tindakan undang-undang berkaitan iklim semakin meningkat selari dengan kemajuan sains, perkembangan undang-undang serta perubahan sentimen masyarakat. Pengawal selia dan pelabur juga semakin memberi perhatian bagi memastikan syarikat membuat pendedahan yang mencukupi serta mematuhi peraturan yang sentiasa berkembang.
Syarikat yang mencemarkan alam sekitar sememangnya terdedah kepada tindakan undang-undang. Namun, syarikat yang gagal mengambil kira kesan perubahan iklim dalam reka bentuk produk atau perkhidmatan mereka juga berisiko. Sebagai contoh, jurutera struktur atau pemaju hartanah yang tidak mengambil kira peningkatan kadar hujan ketika mereka bentuk sistem saliran.
Bagaimanakah Perniagaan Patut Bertindak Balas terhadap Risiko Iklim?
"Setiap syarikat akan menerima kesan yang berbeza daripada risiko fizikal, risiko peralihan dan risiko liabiliti," kata Amar Rahman, Ketua Global Ketahanan Iklim di Zurich Resilience Solutions, Zurich Insurance Group (Zurich). "Sesetengah industri lebih bimbang terhadap keperluan kawal selia, manakala yang lain lebih risau tentang kehilangan aset akibat kerosakan fizikal. Namun begitu, semua syarikat perlu mempertimbangkan ketiga-tiga risiko ini, sama ada dalam jangka pendek mahupun jangka panjang."
Keadaan ini memerlukan perubahan besar dalam cara syarikat mengurus ketahanan dan penyesuaian terhadap perubahan iklim. Risiko iklim perlu dianggap sebagai risiko perniagaan utama, manakala usaha mengurangkannya perlu menjadi sebahagian daripada strategi perniagaan. Memandangkan kesan perubahan iklim sentiasa berubah, penilaian risiko juga perlu dilakukan secara berkala.
Langkah-langkah ini mungkin mendorong syarikat melabur dalam teknologi baharu, meneroka bidang perniagaan baharu atau mengubah model operasi mereka. Sebagai contoh, resort ski Arosa di Switzerland kini membangunkan produk pelancongan musim panas bagi mengurangkan kebergantungan kepada musim sejuk yang semakin singkat. Resort ski lain pula menggunakan teknologi seperti cloud seeding bagi meningkatkan salji, selain mesin salji berkuasa angin yang mampu beroperasi walaupun suhu melebihi paras beku.
Perniagaan Tidak Boleh Bertindak Sendirian
Perniagaan perlu bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti institusi akademik, pengawal selia, agensi kerajaan dan komuniti bagi membangunkan penyelesaian risiko iklim yang lebih berkesan.
Syarikat insurans juga memainkan peranan penting. Selain melindungi pelanggan mereka, syarikat insurans mempunyai kepakaran dalam pengurusan risiko yang boleh dikongsi. Seramai 22 syarikat insurans, termasuk Zurich, telah bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghasilkan satu laporan yang menerangkan bagaimana industri insurans boleh membantu menganalisis dan mengurangkan risiko iklim. Laporan tersebut mencadangkan pendekatan yang lebih menyeluruh dengan menilai risiko fizikal, risiko peralihan dan risiko liabiliti secara serentak, sekali gus membantu syarikat melindungi operasi mereka dengan lebih berkesan.
Apakah Peluang Perniagaan daripada Perubahan Iklim?
Walaupun perubahan iklim membawa cabaran besar, ia turut membuka peluang kepada industri tertentu seperti penyedia tenaga bersih. Menurut International Energy Agency (IEA), tenaga boleh diperbaharui dijangka menjadi sumber utama penjanaan elektrik dunia menjelang awal tahun 2025, mengatasi arang batu. Bahagiannya dalam campuran penjanaan elektrik dunia dijangka meningkat kepada 38% menjelang 2027, berbanding 28% pada tahun 2021. Sektor pengangkutan juga bakal menikmati manfaat daripada inovasi. Kesatuan Eropah (EU) dan United Kingdom merancang untuk menghentikan penjualan kenderaan bukan elektrik dalam tempoh satu hingga dua dekad akan datang. Oleh itu, pengeluar kenderaan elektrik dijangka memperoleh peluang pertumbuhan yang besar. Walaupun Tesla merupakan nama yang paling dikenali, hampir semua pengeluar kereta utama kini berlumba-lumba menghasilkan kenderaan elektrik yang lebih berkuasa dan boleh dipercayai. Daripada teknologi penangkapan karbon hinggalah kepada kitar semula, inovasi yang membantu mengubah cara kita menghasilkan dan menggunakan produk akan terus mendapat permintaan tinggi. Perniagaan yang mampu memperkenalkan penyelesaian baharu bagi mengurangkan kesan negatif proses industri sedia ada berpotensi untuk berkembang maju.
Mengurus Risiko Perubahan Iklim
Kesan perubahan iklim kini dirasai oleh perniagaan di seluruh dunia. Mengambil langkah untuk mengurangkan impaknya bukan sahaja penting demi alam sekitar, malah merupakan keputusan yang bijak dari sudut kewangan. Dengan bertindak lebih awal, syarikat dapat mengurangkan risiko berkaitan perubahan iklim dan pada masa yang sama memanfaatkan peluang yang muncul daripada peralihan kepada ekonomi yang lebih hijau. Seperti yang dinyatakan oleh Amar Rahman: "Syarikat yang mengenal pasti dan bertindak terhadap risiko iklim dari sekarang mempunyai peluang yang lebih baik bukan sahaja untuk terus bertahan, malah berkembang maju dalam dunia baharu yang menuju ke arah pelepasan karbon sifar bersih."
