Tiga Jenis Banjir yang Lazim Berlaku 

27 Oktober 2023

Share this

Terdapat tiga jenis banjir yang biasa. Dengan memahami perbezaannya, anda boleh melindungi diri anda dengan lebih baik daripada kemungkinan banjir yang seterusnya.

Banjir menjejaskan lebih ramai orang di seluruh dunia berbanding mana-mana bencana alam yang lain. Ia boleh menyebabkan kemusnahan besar, memaksa penduduk berpindah, merosakkan harta benda serta infrastruktur awam yang kritikal, malah mengakibatkan kehilangan nyawa. Seiring dengan perubahan iklim yang menyebabkan suhu bumi terus meningkat, kejadian banjir dijangka menjadi semakin kerap dan lebih teruk.

"Banjir boleh memusnahkan seluruh komuniti dan mengakibatkan kerugian bernilai berbilion dolar. Oleh itu, adalah penting bagi individu, perniagaan dan komuniti membuat persediaan menghadapi pelbagai kemungkinan banjir, terutamanya kerana banjir juga boleh berlaku di kawasan yang jauh dari sumber air," kata Amar Rahman, Ketua Global Ketahanan Iklim di Zurich Resilience Solutions.

Terdapat tiga jenis banjir yang lazim berlaku, iaitu banjir fluvial (banjir sungai), banjir pluvial (banjir kilat) dan banjir pesisir pantai (ombak ribut / storm surge). Setiap jenis banjir berlaku dan diramal dengan cara yang berbeza. Kesan yang ditinggalkan juga berbeza, begitu juga langkah yang perlu diambil untuk mengurangkan atau mengelakkan kerosakan akibat banjir.

Ketahui lebih lanjut mengenai tiga jenis banjir yang paling lazim berlaku:

Banjir fluvial (banjir sungai)

Banjir fluvial, atau banjir sungai, berlaku apabila paras air sungai, tasik atau anak sungai meningkat sehingga melimpah ke kawasan sekitarnya. Peningkatan paras air ini biasanya berpunca daripada hujan lebat yang berterusan atau pencairan salji.

Kerosakan akibat banjir sungai boleh meliputi kawasan yang luas kerana limpahan air boleh menjejaskan sungai-sungai kecil di hilir, sekali gus menyebabkan empangan dan benteng pecah serta menenggelami kawasan berhampiran.

image_infographic-Fluvial-or-river-flood

Bagi menentukan kebarangkalian berlakunya banjir sungai, model ramalan mengambil kira data hujan terdahulu, ramalan hujan, paras air sungai semasa serta keadaan tanah dan bentuk muka bumi.

Tahap keterukan banjir sungai bergantung pada bentuk muka bumi serta tempoh dan keamatan hujan di kawasan tadahan sungai. Faktor lain seperti tahap ketepuan air dalam tanah dan kesan perubahan iklim terhadap tempoh serta intensiti hujan juga memainkan peranan. Di kawasan tanah rata, air banjir biasanya naik dengan lebih perlahan dan cetek, namun boleh bertakung selama beberapa hari. Sebaliknya, di kawasan berbukit atau bergunung-ganang, banjir boleh berlaku dalam masa beberapa minit selepas hujan lebat, surut dengan cepat tetapi menyebabkan kerosakan besar akibat aliran puing dan serpihan.

Banjir pluvial (banjir kilat dan banjir air permukaan)

Banjir pluvial berlaku apabila hujan yang sangat lebat menyebabkan banjir tanpa melibatkan limpahan sungai, tasik atau mana-mana badan air. Ramai beranggapan bahawa banjir hanya berlaku di kawasan berhampiran sungai atau laut. Hakikatnya, banjir pluvial boleh berlaku di mana-mana sahaja, sama ada di kawasan bandar atau luar bandar, termasuk kawasan yang tidak mempunyai badan air berhampiran.

image_infographic_drain system
Terdapat dua jenis banjir pluvial yang lazim berlaku:

  • Banjir air permukaan banjir air permukaan berlaku apabila sistem saliran bandar tidak mampu menampung jumlah air hujan yang banyak, menyebabkan air melimpah ke jalan raya dan bangunan berhampiran. Banjir ini biasanya berlaku secara beransur-ansur, sekali gus memberi masa kepada orang ramai untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat. Paras air lazimnya cetek (jarang melebihi satu meter), dan walaupun tidak menimbulkan ancaman segera kepada nyawa, ia boleh mengakibatkan kerugian ekonomi yang besar.
  • Banjir kilat dicirikan oleh aliran air yang deras dan berkelajuan tinggi akibat hujan lebat dalam tempoh yang singkat di sesuatu kawasan atau di kawasan tanah tinggi berhampiran. Ia juga boleh berlaku akibat pelepasan air secara tiba-tiba daripada benteng atau empangan di hulu. Banjir kilat amat berbahaya dan boleh menyebabkan kemusnahan besar, bukan sahaja disebabkan arus air yang deras tetapi juga serpihan seperti kayu, batu dan objek lain yang dihanyutkan bersama arus.

Banjir pesisir pantai (ombak ribut)

Banjir pesisir pantai berlaku apabila air laut melimpahi kawasan daratan di sepanjang pantai. Antara punca utama banjir jenis ini ialah ribut angin kencang yang berlaku serentak dengan air pasang tinggi (ombak ribut atau storm surge) serta kejadian tsunami.

image_infographic-Coastal-floods-and-storm-surge

Ombak ribut berlaku apabila angin kencang daripada ribut menolak air laut ke daratan. Ia merupakan penyebab utama banjir pesisir pantai dan sering menjadi ancaman paling besar ketika taufan atau siklon tropika berlaku. Kesannya menjadi lebih buruk apabila ribut berlaku semasa air pasang tinggi. Dalam keadaan ini, air laut akan melimpahi kawasan tanah rendah dan sering menyebabkan kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda yang besar.

Tahap keterukan banjir pesisir pantai dipengaruhi oleh beberapa faktor lain, termasuk kekuatan, saiz, kelajuan dan arah pergerakan ribut. Bentuk muka bumi di kawasan daratan dan dasar laut juga memainkan peranan penting. Bagi menentukan kebarangkalian dan tahap ombak ribut, model ramalan banjir pesisir pantai mengambil kira faktor-faktor tersebut bersama data sejarah ribut yang pernah melanda kawasan berkenaan.

Namun, apabila paras laut terus meningkat akibat perubahan iklim, semakin banyak bandar dan komuniti di kawasan pesisir pantai akan terdedah kepada risiko banjir pesisir pantai.