Zurich Malaysia Tumpukan Pelaburan dalam Tenaga Boleh Diperbaharui dan Ekuiti Tempatan
Article5 Februari 2024
Unit Malaysia bagi syarikat insurans dari Switzerland ini melihat peluang pelaburan dalam pasaran tempatan walaupun ekonomi global kini berada di persimpangan antara pertumbuhan ekonomi dan hala tuju kadar faedah.
Zurich Malaysia melihat potensi peluang pelaburan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan ekuiti tempatan, walaupun ekonomi global dijangka terus berdepan ketidaktentuan dan cabaran, menurut seorang pegawai kanan syarikat itu.
"Kami mengenal pasti peluang pertumbuhan dalam sektor berkaitan tenaga boleh diperbaharui dan teknologi bersih, selaras dengan peralihan global ke arah pelaburan mampan," kata Junior Cho, Ketua Pegawai Eksekutif Negara merangkap Ketua Zurich Malaysia, dalam temu bual bersama AsianInvestor.
Pandangan ini turut seiring dengan beberapa pemilik aset lain seperti HDFC Pension Fund Management Company dari India, Aware Super dan British International Investment, yang turut berkongsi pandangan serupa dengan AsianInvestor sejak beberapa bulan lalu.
"Selain itu, kami turut mengenal pasti peluang pelaburan mengikut tema semasa sambil mengamalkan pendekatan 'bottom-up' bagi membina portfolio yang terdiri daripada pelaburan berkualiti dan kukuh dari segi asas," tambah Cho.
Zurich Malaysia ialah anak syarikat kepada Zurich Insurance dari Switzerland dan terdiri daripada empat entiti yang merangkumi insurans am, insurans hayat serta takaful.
MINAT TERHADAP EKUITI DAN PELABURAN ALTERNTIF
Syarikat insurans itu turut mengambil pendirian yang berhati-hati tetapi optimis terhadap pasaran ekuiti tempatan, disokong oleh penilaian pasaran yang menarik serta pelaksanaan dasar-dasar domestik.
Portfolio pelaburan Zurich Malaysia merangkumi bon dan ekuiti
"Bagi pelaburan ekuiti, kami menyeimbangkan antara aset berorientasikan pertumbuhan dan sektor defensif yang menawarkan pulangan dividen," kata Cho sambil menjelaskan bahawa strategi pelaburan syarikat kekal fleksibel bagi memanfaatkan peluang kitaran dan tema pelaburan yang sedang berkembang.
Menurut Bank Negara Malaysia, permintaan domestik yang kukuh dijangka terus menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia, dengan tambahan sokongan daripada eksport produk elektrik dan elektronik.
Bank Negara Malaysia turut menjelaskan bahawa, Perbelanjaan isi rumah akan terus disokong oleh pertumbuhan pekerjaan dan peningkatan gaji yang stabil. Ketibaan serta perbelanjaan pelancong dijangka terus meningkat. Kemajuan projek infrastruktur jangka panjang serta pelaksanaan pelbagai inisiatif pemangkin akan terus merangsang aktiviti pelaburan.
Selain itu, pelaburan alternatif juga menjadi sebahagian daripada strategi Zurich Malaysia.
"Kami sentiasa meneroka kelas aset alternatif bagi memastikan portfolio pelaburan kami kekal pelbagai dalam lingkungan tahap risiko yang ditetapkan," kata Cho.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan jenis aset alternatif yang dilaburkan oleh Zurich Malaysia.
PROSPEK PASARAN MASIH TIDAK MENENTU
Prestasi pelaburan juga banyak bergantung kepada perkembangan ekonomi global yang kini berada di persimpangan antara hala tuju kadar faedah dan pertumbuhan ekonomi, khususnya di negara-negara maju.
"Keadaan makroekonomi global terus mencabar apabila bank-bank pusat berusaha mengawal inflasi tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi, di samping berdepan ketegangan geopolitik yang semakin berkembang," ujar Cho.
Beliau berkata beberapa petunjuk utama seperti pertumbuhan pinjaman, keadaan pasaran buruh dan kadar inflasi akan menjadi faktor penting dalam membentuk prospek ekonomi bagi tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.
Menurut beliau, sebahagian besar tahun 2024 dijangka menyaksikan suasana pelaburan yang tidak menentu akibat gabungan beberapa faktor, termasuk: Kemerosotan pasaran hartanah di China. Dasar monetari yang lebih ketat di Amerika Syarikat dan Eropah dan Pelaksanaan dasar-dasar tempatan.
"Keadaan ini mewujudkan persekitaran pelaburan yang mencabar dan memerlukan pengurusan portfolio yang teliti serta pemantauan rapi terhadap perkembangan ekonomi global dan domestik," katanya.
Pandangan ini turut dikongsi oleh Bank Negara Malaysia, yang menjangkakan pertumbuhan ekonomi global akan menjadi lebih perlahan pada tahun 2024.
Menurut bank pusat itu: "Kesan daripada dasar monetari yang ketat dijangka semakin dirasai pada suku-suku berikutnya sebelum mula reda menjelang separuh kedua tahun 2024. Inflasi global juga dijangka terus sederhana, namun harga komoditi masih menjadi risiko yang boleh meningkatkan inflasi."
Bank Negara turut menjelaskan bahawa risiko penurunan ekonomi global berpunca terutamanya daripada inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan, peningkatan ketegangan geopolitik serta pengetatan keadaan pasaran kewangan. Walau bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi global berpotensi meningkat sekiranya permintaan domestik, khususnya di negara-negara maju, berkembang lebih kukuh daripada jangkaan.
