Money Mindset: Pelajaran 6 – Melabur untuk Masa Depan yang Lebih Baik

Article2 April 2026

Share this


Masalah

Melabur ibarat memberi pekerjaan kepada wang anda — membiarkannya berkembang, bukannya sekadar disimpan tanpa digunakan. Ramai orang menyimpan wang dengan harapan dapat mencapai matlamat kewangan seperti menikmati persaraan yang selesa, memiliki rumah, membiayai pendidikan anak-anak atau menampung keperluan kesihatan pada masa hadapan. Kebanyakan orang lebih cenderung untuk menyimpan daripada melabur kerana simpanan dianggap lebih selamat dan mudah difahami. Namun, simpanan sahaja mungkin tidak mencukupi. Dari semasa ke semasa, inflasi akan mengurangkan nilai wang. Ini bermakna jumlah wang yang sama hari ini akan mempunyai kuasa beli yang lebih rendah pada masa hadapan. Sebagai contoh, dengan kadar inflasi purata 3% setahun, RM10,000 yang disimpan hari ini hanya mempunyai nilai kuasa beli sekitar RM7,400 selepas 10 tahun. Selepas 20 tahun, nilainya berkurang hampir separuh. Sebaliknya, pelaburan berpotensi membantu mengekalkan dan meningkatkan nilai wang anda. Jika pelaburan memberikan pulangan purata 3% setahun, RM10,000 boleh berkembang kepada kira-kira RM13,400 dalam tempoh 10 tahun, berbanding kehilangan nilai akibat inflasi. Walaupun begitu, ramai masih teragak-agak untuk melabur kerana terlalu memberi tumpuan kepada kerugian jangka pendek dan keadaan kewangan semasa.

 

Mengapa Perkara Ini Berlaku?

Terdapat dua faktor psikologi utama yang menyebabkan ramai memilih untuk menyimpan berbanding melabur, walaupun pelaburan berpotensi memberikan manfaat yang lebih besar dalam jangka panjang.

1) Loss Aversion (Takut Mengalami Kerugian)

Secara semula jadi, manusia lebih takut mengalami kerugian berbanding gembira memperoleh keuntungan yang sama nilainya. Contohnya, kehilangan RM500 biasanya terasa lebih menyakitkan berbanding kegembiraan memperoleh RM500. Cara kita melihat keuntungan dan kerugian inilah yang banyak mempengaruhi keputusan kewangan.

Dalam pelaburan, penurunan nilai pasaran walaupun hanya sementara boleh menimbulkan rasa bimbang dan mendorong kita melihat pelaburan sebagai sesuatu yang berisiko. Oleh sebab akaun simpanan tidak mengalami turun naik nilai, ia kelihatan lebih stabil dan selamat.

Namun begitu, memilih untuk tidak mengambil sebarang risiko juga mempunyai risikonya sendiri. Walaupun wang dalam simpanan kelihatan selamat, inflasi tetap akan menghakis kuasa belinya sedikit demi sedikit.

2) Present Bias (Mengutamakan Masa Kini)

Kita juga cenderung mengutamakan keselesaan hari ini berbanding manfaat yang bakal dinikmati pada masa hadapan. Dalam konteks pelaburan, kita sering memberi perhatian kepada prestasi pasaran dalam jangka pendek berbanding potensi pertumbuhan jangka panjang.

Sebagai contoh, jika nilai pelaburan menurun pada satu bulan tertentu, kita mungkin menganggap pelaburan tersebut tidak lagi berbaloi lalu tergesa-gesa mengeluarkan wang bagi mengelakkan "kerugian". Sedangkan secara sejarah, pelaburan yang dirancang dengan baik dan dipelbagaikan lazimnya mampu pulih serta berkembang dalam jangka panjang.

Sebaliknya, simpanan tidak menunjukkan turun naik yang ketara, menjadikannya lebih menenangkan dari sudut emosi walaupun pulangannya mungkin tidak mampu menandingi kadar inflasi.

Ringkasnya, gabungan takut rugi dan kecenderungan mengutamakan masa kini menyebabkan ramai memilih simpanan tunai. Walaupun pilihan ini memberi rasa selamat pada hari ini, ia mungkin mengorbankan pertumbuhan kekayaan dan kuasa beli pada masa hadapan.

 

Penyelesaiannya

Salah satu cara terbaik untuk mengubah cara kita melihat pelaburan ialah dengan mengaitkannya dengan perkara yang kita lalui dalam kehidupan seharian.

Melabur Ibarat Menuntut Ilmu

Bayangkan pelaburan seperti proses mendapatkan pendidikan. Di sekolah, kita pasti akan melalui pelbagai cabaran seperti peperiksaan, tugasan atau keputusan yang kurang memuaskan. Namun, kita tetap meneruskannya kerana mengetahui matlamat akhirnya ialah memperoleh ilmu, menamatkan pengajian dan membina kerjaya. Pelaburan juga begitu. Akan ada tempoh turun naik dan cabaran, tetapi matlamat utamanya ialah membina kekayaan secara beransur-ansur dalam jangka panjang. Apabila kita melihat pelaburan sebagai satu perjalanan, cabaran sementara tidak akan menghalang kita daripada mencapai matlamat kewangan pada masa hadapan.

Ubah Perspektif Daripada Jangka Pendek Kepada Jangka Panjang

Setiap pelaburan mempunyai keseimbangan antara potensi pulangan dan kemungkinan mengalami kerugian sementara. Walaupun turun naik pasaran tidak dapat dielakkan, sejarah menunjukkan bahawa pelaburan yang dibuat secara konsisten cenderung berkembang dalam tempoh yang panjang.

Sebagai contoh, jika anda menyimpan RM10,000 selama 10 tahun, inflasi sebanyak 3% setahun menyebabkan nilai sebenar wang tersebut berkurang kepada kira-kira RM7,400. Namun, jika jumlah yang sama dilaburkan dalam portfolio berisiko sederhana rendah dengan purata pulangan 3% setahun, nilainya berpotensi meningkat kepada sekitar RM13,400 selepas 10 tahun. Apabila kita memberi tumpuan kepada pertumbuhan jangka panjang, turun naik jangka pendek menjadi lebih mudah diterima.

Jika anda ingin mula melabur, Zurich sedia membimbing anda pada setiap langkah perjalanan tersebut. Dengan sokongan penasihat yang berpengalaman, anda boleh membuat keputusan pelaburan dengan lebih yakin serta membina masa depan kewangan yang lebih kukuh.

Ingatlah, pelaburan ialah satu perjalanan jangka panjang. Sama seperti pendidikan, ia memerlukan kesabaran, disiplin dan perspektif yang betul. Pertumbuhan yang konsisten dari semasa ke semasa, disokong oleh nasihat yang tepat, merupakan antara cara terbaik untuk mencapai kestabilan kewangan pada masa hadapan. Apabila anda melabur dengan tujuan yang jelas, anda bukan sekadar menyimpan wang — anda memberi peluang kepada wang tersebut untuk terus berkembang demi masa depan anda.