Money Mindset: Pelajaran 8 – Merancang Persaraan Hari Ini untuk Masa Depan yang Lebih Baik

Article16 April 2026

Share this

Masalah

Persaraan ibarat proses penuaan — tanpa disedari, ia semakin menghampiri. Ramai orang hanya mula memikirkan tentang persaraan apabila usia semakin meningkat. Malangnya, ketika itu mereka mungkin sudah terlepas peluang berharga untuk mengembangkan simpanan persaraan.

Kita semua mengimpikan kehidupan yang selesa selepas bersara. Namun, caruman persaraan yang dibuat sering kali tidak mencukupi untuk mencapai matlamat tersebut. Hakikatnya, menyimpan wang sahaja mungkin tidak memadai. Tanpa caruman yang konsisten dan pertumbuhan jangka panjang, ramai berisiko mempunyai dana persaraan yang lebih kecil daripada yang diharapkan, sekali gus menyukarkan mereka menampung keperluan hidup pada masa hadapan.

Sebab itu, memulakan simpanan persaraan lebih awal amat penting. Lagi awal anda mula mencarum secara konsisten, lagi kukuh asas kewangan yang dapat dibina untuk masa depan. Dana persaraan bukan sekadar simpanan untuk hari tua, tetapi sebahagian penting daripada perancangan kewangan keseluruhan. Dengan caruman yang berterusan, ia boleh menjadi sumber pendapatan yang membantu menampung perbelanjaan harian, kos yang tidak dijangka dan mengekalkan gaya hidup yang telah anda usahakan selama ini.

Di Zurich, kami komited membantu anda merancang persaraan dengan pelbagai penyelesaian, termasuk pelan persaraan peribadi, anuiti serta pelan berkaitan pelaburan (investment-linked).

Kami juga memahami bahawa merancang persaraan boleh terasa rumit. Faktor psikologi sering menyebabkan proses ini kelihatan lebih sukar daripada yang sebenarnya. Itulah sebabnya Zurich sentiasa bersedia sebagai rakan yang dipercayai, menawarkan bimbingan profesional dan penyelesaian yang direka untuk memberikan kestabilan serta keyakinan walaupun dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.
 

Mengapa Perkara Ini Berlaku?

Cara kita membuat keputusan kewangan hari ini banyak dipengaruhi oleh kecenderungan psikologi yang menyebabkan kita lebih mengutamakan keperluan semasa berbanding masa hadapan.

1)  Loss Aversion (Takut Kehilangan Wang)

Salah satu sebab utama ramai enggan meningkatkan caruman persaraan ialah kerana mereka merasakan wang tersebut "hilang" daripada gaji bulanan. Walaupun caruman itu sebenarnya sedang membina masa depan yang lebih terjamin, pengurangan pendapatan yang boleh dibelanjakan hari ini sering dianggap sebagai satu kerugian. Secara psikologi, rasa kehilangan lebih kuat berbanding kegembiraan memperoleh manfaat pada masa hadapan. Sebab itu, walaupun peningkatan caruman hanya sedikit, ia tetap terasa berat bagi sesetengah orang.

2) Suka Bertangguh

Ganjaran daripada simpanan persaraan hanya dapat dinikmati bertahun-tahun kemudian. Oleh itu, ramai memilih untuk berkata, "Nanti saya mula." Namun, setiap tahun yang ditangguhkan bermakna anda kehilangan peluang menikmati kuasa faedah kompaun (compound growth), iaitu pulangan yang dijana bukan sahaja daripada caruman asal, malah daripada pulangan yang telah terkumpul sebelum ini. Semakin lewat anda bermula, semakin banyak potensi pertumbuhan yang terlepas.

3) Bergantung Pada Caruman Lalai (Default Contribution)

Ramai pekerja hanya bergantung kepada kadar caruman yang ditetapkan oleh majikan. Walaupun kadar ini membantu menggalakkan orang ramai mula menyimpan, ia mungkin tidak mencukupi untuk menyokong gaya hidup persaraan yang diinginkan. Oleh kerana kadar tersebut kelihatan "rasmi" atau "selamat", ramai tidak pernah menyemak sama ada jumlah itu benar-benar memadai untuk mencapai matlamat persaraan mereka.
 

Penyelesaian

Berita baiknya, terdapat beberapa langkah mudah yang boleh membantu anda membina dana persaraan tanpa perlu berasa terlalu terbeban.

1) Gunakan Komitmen Automatik

Salah satu cara paling berkesan ialah menjadikan simpanan persaraan sebagai satu komitmen automatik. Sebagai contoh, anda boleh berjanji kepada diri sendiri untuk meningkatkan caruman sebanyak 1% setiap tahun, terutamanya apabila menerima kenaikan gaji. Dengan cara ini, peningkatan caruman tidak begitu dirasai kerana pendapatan anda juga meningkat pada masa yang sama. Langkah kecil yang dilakukan secara konsisten akan memberi kesan yang besar dalam jangka panjang.

2) Lihat Caruman Sebagai Ganjaran Masa Depan

Daripada menganggap caruman sebagai wang yang "hilang" daripada gaji, anggaplah ia sebagai wang yang sedang bekerja untuk diri anda pada masa hadapan. Setiap caruman berpotensi menjana pulangan, dan pulangan tersebut pula akan terus berkembang melalui faedah kompaun. Sebagai contoh, jika anda mempunyai RM10,000 dan memperoleh pulangan kompaun sebanyak 5% setahun, jumlah tersebut boleh berkembang kepada kira-kira RM12,762 dalam tempoh lima tahun, walaupun tanpa sebarang tambahan caruman. Apabila anda bermula lebih awal dan mencarum secara konsisten, dana persaraan berkembang bukan sahaja melalui jumlah yang anda simpan, malah melalui pulangan yang terus bertambah dari semasa ke semasa.

Ramai menyangka simpanan persaraan memerlukan pengorbanan yang besar. Hakikatnya, konsisten jauh lebih penting daripada jumlah yang besar.

Dengan mengubah cara anda melihat simpanan persaraan dan mengambil beberapa langkah praktikal, anda boleh membina asas kewangan yang lebih kukuh tanpa menjejaskan kehidupan hari ini.

Di Zurich, kami membantu memudahkan perancangan persaraan. Penasihat kami akan bekerjasama dengan anda untuk membina pelan yang bersesuaian dengan pendapatan, matlamat dan tempoh masa anda. Dengan bimbingan yang diperibadikan serta penyelesaian yang fleksibel, anda boleh meningkatkan simpanan persaraan secara berperingkat tanpa berasa terbeban.

Mencarum untuk persaraan bukan bermaksud kehilangan wang hari ini. Sebaliknya, anda sedang memberi peluang kepada wang tersebut untuk bekerja demi masa depan anda. Dengan pendekatan yang konsisten, nasihat yang tepat dan kuasa pertumbuhan kompaun, anda boleh menikmati zaman emas yang lebih selesa dan terjamin.