Money Mindset: Pelajaran 9 – Perspektif Baharu terhadap Insurans Hayat dan Takaful Keluarga
Article23 April 2026
Masalah
Insurans dan takaful diwujudkan untuk melindungi diri, insan tersayang serta perkara yang paling kita hargai daripada kejadian yang tidak dijangka — sama ada kehilangan telefon, kemalangan di rumah mahupun situasi yang memerlukan perlindungan insurans hayat atau takaful keluarga. Keputusan untuk mendapatkan perlindungan sepatutnya dibuat berdasarkan tahap risiko, iaitu gabungan antara kebarangkalian sesuatu kejadian berlaku dengan kesan kewangan dan emosi yang mungkin ditanggung.
Namun begitu, kita sering memilih untuk melindungi perkara yang berisiko tinggi berlaku tetapi impaknya agak kecil, seperti kehilangan telefon atau komputer riba. Walaupun peranti ini penting dalam kehidupan seharian, kerugiannya masih boleh diganti.
Sebaliknya, kita sering mengabaikan perlindungan terhadap risiko yang jarang berlaku tetapi memberi kesan yang sangat besar, seperti kehilangan pendapatan akibat penyakit serius atau kematian. Walaupun kebarangkaliannya rendah, kesan kewangan dan emosi yang ditinggalkan boleh menjadi sangat besar kepada diri sendiri dan keluarga.
Mengapa Perkara Ini Berlaku?
Walaupun kita tahu insurans dan takaful penting, cara otak kita menilai risiko tidak semestinya rasional. Kita sering bergantung kepada persepsi dan emosi, bukannya fakta.
1) Melihat Risiko Dari Sudut Yang Terlalu Sempit
Semasa membuat keputusan tentang insurans atau takaful, kita sering menilai berdasarkan pengalaman sendiri. Contohnya, jika anda masih muda, sihat dan tidak pernah mengalami penyakit serius, anda mungkin merasakan insurans hayat atau takaful keluarga belum diperlukan. Begitu juga jika anda tidak pernah kehilangan telefon atau komputer riba, anda mungkin menganggap perlindungan untuk peranti juga tidak penting.
Cara berfikir ini menyebabkan kita memandang rendah risiko yang besar hanya kerana ia belum pernah berlaku kepada diri sendiri. Hakikatnya, sesuatu risiko tidak hilang hanya kerana kita belum mengalaminya. Risiko tersebut tetap wujud dan boleh berlaku pada bila-bila masa.
2) Terlalu Dipengaruhi Oleh Kisah Yang Baru Didengar
Kita juga mudah dipengaruhi oleh cerita atau kejadian yang masih segar dalam ingatan. Sebagai contoh, jika baru-baru ini anda mendengar banyak kes kecurian telefon, anda mungkin segera merasakan perlindungan telefon adalah sangat penting. Sebaliknya, jika sudah lama tidak mendengar tentang penyakit kritikal atau kematian mengejut, risiko tersebut akan terasa jauh dan kurang relevan, walaupun statistik menunjukkan sebaliknya.
Akibatnya, kita lebih cenderung melindungi perkara yang sering digunakan setiap hari, tetapi mengabaikan perlindungan terhadap perkara yang sebenarnya jauh lebih penting. Telefon yang hilang masih boleh diganti. Namun kehilangan pendapatan, keupayaan untuk bekerja atau perlindungan kewangan buat keluarga bukanlah sesuatu yang mudah digantikan.
Ringkasnya, apabila kita terlalu bergantung kepada pengalaman sendiri dan kisah yang mudah diingati, kita cenderung memberi perlindungan berlebihan kepada kerugian kecil tetapi kerap berlaku, sambil mengabaikan risiko besar yang boleh mengubah kehidupan.
Penyelesaian
Apabila bercakap tentang perlindungan, kita perlu melihat melangkaui perkara kecil yang boleh diganti dan memberi tumpuan kepada perkara yang benar-benar tidak mampu kita kehilangan. Bayangkan perbezaan antara kehilangan telefon dengan kehilangan keupayaan untuk menyara diri atau keluarga. Satu hanyalah kesulitan sementara. Satu lagi boleh mengubah seluruh kehidupan. Insurans dan takaful membantu merapatkan jurang ini dengan menukarkan premium atau sumbangan bulanan yang kecil kepada perlindungan terhadap risiko yang boleh memberi kesan kewangan dan emosi yang besar.
1) Premium atau Sumbangan Kecil, Perlindungan Yang Besar
Ramai sanggup membayar sejumlah kecil setiap bulan untuk melindungi telefon atau komputer riba. Prinsip yang sama juga terpakai kepada insurans hayat dan takaful keluarga, cuma nilainya jauh lebih besar. Dengan premium atau sumbangan yang berpatutan, anda boleh melindungi perkara yang paling berharga seperti kesihatan, pendapatan, kestabilan kewangan keluarga dan masa depan insan tersayang. Sedikit komitmen hari ini mampu memberikan perlindungan yang jauh lebih bermakna apabila berlaku perkara yang tidak diingini.
2) Insurans dan Takaful Memberikan Ketenangan Fikiran
Perlindungan bukan sekadar soal wang. Ia juga tentang ketenangan hati.
Apabila anda mengetahui bahawa diri sendiri dan keluarga dilindungi, anda boleh menjalani kehidupan dengan lebih yakin tanpa sentiasa dibelenggu persoalan "bagaimana jika sesuatu berlaku?" Ketenangan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada anda, malah mengurangkan beban emosi keluarga kerana mereka tahu keperluan penting seperti perbelanjaan harian, tempat tinggal dan komitmen kewangan masih dapat diteruskan jika berlaku perkara yang tidak dijangka.
Perlindungan kewangan dan ketenangan fikiran saling melengkapi. Premium atau sumbangan bulanan yang kecil boleh membantu memastikan bil terus dibayar, gaya hidup dapat diteruskan dan perancangan masa depan kekal berada di landasan yang betul.
Di Zurich, kami komited menjadikan perlindungan lebih mudah difahami dan mudah diakses. Penyelesaian insurans hayat dan takaful keluarga kami direka untuk melindungi perkara yang paling anda hargai, sambil melengkapkan perancangan kewangan keseluruhan anda. Dengan pilihan pelan yang fleksibel serta bimbingan daripada penasihat yang berpengalaman, kami membantu anda menukar sumbangan yang sederhana kepada perlindungan jangka panjang, agar anda dan keluarga sentiasa bersedia menghadapi cabaran kecil mahupun risiko besar yang boleh mengubah kehidupan.