10 Tip Penting untuk Membeli-belah Dalam Talian dengan Selamat
Article2 Januari 2025
Semasa membeli-belah dalam talian, tanpa disedari anda mungkin menjadi sasaran penjenayah siber. Bagaimanakah anda boleh mengenal pasti penipuan, mengelakkan scam dan membeli-belah dengan lebih selamat? Berikut ialah beberapa tip untuk membantu anda membeli-belah dalam talian dengan lebih yakin dan selamat.
Semakin ramai pengguna beralih kepada membeli-belah dalam talian, semakin aktif juga penjenayah siber mencari mangsa. Menurut Juniper Research, jumlah kerugian akibat penipuan e-dagang di seluruh dunia mencecah hampir USD50 bilion pada tahun 2023. Lebih membimbangkan, penipuan pembayaran dalam talian dijangka melebihi USD362 bilion di peringkat global antara tahun 2023 hingga 2028, dengan kerugian pada tahun 2028 sahaja dianggarkan melebihi USD90 bilion.
Bagi pengguna, bukan mudah untuk mengetahui langkah terbaik bagi memastikan pengalaman membeli-belah dalam talian kekal selamat. Cabaran ini turut dihadapi oleh para peruncit. Banyak kedai fizikal kini beralih kepada platform digital, namun sebahagiannya masih kurang berpengalaman dalam menguruskan kehadiran dalam talian. Keadaan ini membuka ruang kepada penipu siber untuk memperdaya pengguna yang tidak berwaspada.
Berikut ialah 10 tip penting untuk membantu anda membeli-belah dalam talian dengan lebih selamat.
1. Sentiasa kemas kini perisian antivirus
Ancaman keselamatan siber sentiasa berubah. Penjenayah siber sentiasa mencari cara baharu untuk mengeksploitasi kelemahan sistem. Oleh itu, pastikan sistem operasi dan perisian antivirus anda sentiasa dikemas kini bagi melindungi maklumat peribadi daripada ancaman terkini.
2. Beli daripada laman web yang dikenali
Apabila mencari tawaran menarik atau hadiah yang diidamkan, elakkan bergantung sepenuhnya kepada enjin carian. Berhati-hati dengan laman web palsu yang menyerupai jenama terkenal. Kesilapan ejaan kecil pada alamat laman web (URL) boleh membawa anda ke laman palsu yang direka untuk mencuri maklumat peribadi. Penipu juga sering menggunakan teknik typo-squatting, iaitu mendaftarkan nama domain yang hampir sama dengan laman web asal. Ada antaranya kelihatan hampir serupa dengan laman rasmi sehingga sukar dibezakan. Untuk lebih selamat, beli terus melalui laman web rasmi jenama atau peruncit yang dipercayai.
3. Pastikan laman web adalah sah dan selamat
Sebelum memasukkan sebarang maklumat peribadi, pastikan laman web tersebut selamat digunakan. Semak bahawa alamat laman web bermula dengan https:// dan mempunyai ikon mangga pada pelayar web, yang menunjukkan sambungan tersebut disulitkan dan lebih selamat. Anda juga boleh menggunakan perkhidmatan pihak ketiga seperti TRUSTe, VeriSign atau Better Business Bureau Online untuk mengesahkan kesahihan sesebuah laman web.
4. Jika tawaran terlalu bagus untuk dipercayai, berhati-hatilah
Promosi besar-besaran memang biasa ditawarkan oleh peruncit, terutamanya ketika musim jualan. Namun begitu, penjenayah siber juga mengambil kesempatan dengan menawarkan harga yang terlalu murah untuk memancing mangsa.
Gunakan pertimbangan yang munasabah. Sebagai contoh, jika televisyen Ultra HD bersaiz 50 inci yang biasanya berharga ribuan ringgit dijual pada harga beberapa ratus ringgit sahaja, itu mungkin petanda penipuan. Sebelum membuat pembelian, luangkan sedikit masa untuk menyemak ulasan syarikat atau mendapatkan maklumat daripada laman semakan perniagaan yang dipercayai bagi memastikan penjual tersebut benar-benar sah.
5. Berwaspada terhadap penipuan phishing
Phishing merupakan antara kaedah paling popular yang digunakan penipu untuk mendapatkan maklumat peribadi anda Kebiasaannya, ia hadir dalam bentuk e-mel, mesej atau iklan yang menawarkan hadiah wang tunai atau potongan harga luar biasa dengan tujuan memancing anda supaya berkongsi maklumat sulit.
Kes penipuan seperti ini biasanya meningkat ketika musim jualan seperti Black Friday dan Cyber Monday, khususnya di platform media sosial seperti Facebook dan Instagram, apabila pengguna lebih aktif mencari tawaran menarik.
6. Gunakan kad kredit apabila membuat pembayaran
Jika boleh, gunakan kad kredit untuk pembelian dalam talian, terutamanya jika anda kurang pasti tentang kesahihan penjual. Kebanyakan kad kredit menawarkan perlindungan terhadap transaksi penipuan, sekali gus mengurangkan liabiliti anda sekiranya berlaku transaksi tanpa kebenaran.
7. Gunakan kata laluan yang kukuh
Pastikan setiap akaun menggunakan kata laluan atau frasa laluan yang kukuh dan berbeza. Gunakan gabungan huruf besar, huruf kecil, nombor dan simbol khas seperti @ atau #, serta pastikan panjangnya sekurang-kurangnya 12 aksara.
8. Aktifkan pengesahan berbilang faktor (MFA)
Pengesahan berbilang faktor (Multi-Factor Authentication atau MFA) menambah lapisan keselamatan tambahan pada akaun dalam talian anda. Selain kata laluan, anda perlu mengesahkan identiti melalui kaedah lain seperti pengecaman wajah atau kod sekali guna daripada aplikasi pengesah. Langkah ini menyukarkan pihak yang tidak dibenarkan daripada mengakses akaun anda dan membantu melindungi maklumat peribadi dengan lebih baik.
9. Elakkan menggunakan Wi-Fi awam
Walaupun anda boleh membeli-belah dalam talian dari mana-mana sahaja, sebaik-baiknya lakukan transaksi di rumah menggunakan rangkaian internet yang dipercayai. Komputer awam dan rangkaian Wi-Fi awam lebih mudah dipantau oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mungkin mencuri maklumat seperti kata laluan, nombor kad kredit dan data peribadi.
10. Gunakan VPN
Jika anda perlu menggunakan Wi-Fi awam, lindungi sambungan internet anda dengan rangkaian persendirian maya atau Virtual Private Network (VPN). VPN mewujudkan sambungan yang disulitkan antara peranti anda dan pelayan, sekali gus menyembunyikan lokasi serta aktiviti dalam talian anda daripada pihak lain.
Dengan VPN, penjenayah siber lebih sukar untuk memintas data atau mencuri maklumat peribadi anda ketika membeli-belah di tempat awam seperti kafe atau lapangan terbang.
